Tuesday, October 27, 2009

APAKAH BAITI ALI & DI MANA?

BAITI ALI : MAKSUD, PERANCANGAN DAN MARKAS SEMENTARA

Alamat Markas Sementara Baiti Ali

BAITI ALI
YAYASAN SULAMI
d/a Ustaz Hj Ali bin Hj Ithnin
KM 6, Kg Permatang Pasir,
Alai,
75460 Melaka



Baiti Ali pada zahirnya bermaksud Rumah Ustaz Ali. Terletak di Km 6, Kampung Permatang Pasir, Alai, 75460 Melaka. Rumah ini adalah rumah kediaman Ustaz Hj Ali bin Hj Ithnin yang juga dikenali dan popular sebagai Ustaz Ali Mekah atau Ustaz Ali Melaka.
Di dalam kawasan rumah ini terbina sebuah bangunan surau, sebuah bangunan untuk tadika Islam, 6 bilik air awam untuk para pengunjung dan tetamu, dan 3 buah bilik pejabat. 2 buah bangsal untuk aktiviti rewang dan gotong royong memasak juga terdapat di sini.
Pada suatu ketika dahulu bangunan pejabat ini pernah disewa oleh PAS sebagai pejabat Markas bagi kawasan Permatang Pasir kerana terdapat sebuah surau untuk kemudahan ahli menunaikan solat. Sewa yang dikutip dimasukkan ke dalam Tabung Yayasan Sulami. Sebuah pintu gerbang sumbangan PAS yang menyewa bangunan dan pejabat tadika telah dibina di pintu masuk BAITI ALI.
Lebih kurang 300 meter di belakang rumah Ustaz Ali dibina sebuah rumah dan 4 buah bangsal. Rumah batu 3 bilik ini disediakan untuk kemudahan pekerja atau penjaga lembu dan kambing. Penjaga ternakan tersebut terdiri daripada anak remaja berusia 15 - 18 tahun dari kalangan anak-anak yatim dan anak keluarga miskin yang memerlukan wang saku untuk perbelanjaan harian. 2 bangsal lembu dan 2 bangsal kambing adalah khusus bagi kambing dan lembu yang dipelihara secara kandang dan tidak dilepaskan ke merata tempat.
BAITI ALI pada hakikat perancangannya ialah sebuah Jawatankuasa Kecil daripada Yayasan Sulami. Jawatankuasa ini bekerjasama erat dengan Jawatankuasa yang memantau Waris Kerabat Sultan Ali ibni Sultan Hussein.
BAITI ALI masih dalam bentuk perancangan dan mempunyai Jawatankuasa Protem. Tugas penting jawatankuasa ini adalah untuk menubuhkan pertubuhan berbentuk koperasi yang akan diberi nama Koperasi Baiti Ali Malaysia. Koperasi ini akan bertindak menjana dan mencari sumber pendapatan melalui aktiviti perniagaan koperasi demi untuk kepentingan ahli-ahlinya yang juga merupakan pendokong dan ahli-ahli Yayasan Sulami. Koperasi ini juga berharap akan dapat membantu Yayasan Sulami dalam aktiviti pembelaan terhadap anak yatim dan fakir miskin. Koperasi Baiti Ali akan mendapatkan modal perniagaan dari institusi kewangan, modal ahli dan juga modal pinjaman daripada Yayasan Sulami.
Sebuah lagi Jawatankuasa Kecil Baiti Ali ialah jawatankuasa yang ditugaskan untuk mengumpul keahlian bagi menubuhkan Persatuan Baiti Ali Malaysia. Pada dasar dan peringkat perancangannya ketika ini, Baiti Ali Malaysia akan menghimpunkan orang-orang Melayu yang berminat dan menyokong kedaulatan raja-raja Melayu yang mempunyai pertalian darah dengan keluarga Rasulullah SAW.
Kedua Jawatankuasa Kecil ini dinaungi oleh Pengerusi Yayasan Sulami., AlFadhil Ustaz Haji Ali Mekah. Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi ahli Koperasi dan ahli Baiti Ali Malaysia, sila hubungi Pengerusi Jawatankuasa Kecil Baiti Ali, Yayasan Sulami, alamat seperti di atas. Atau hubungi Engku Hj Norashid di talian 03-20720036 atau Hp 019-7343484. E-mel tunrashid@yahoo.com atau engkurashid@yahoo.com.
Untuk menjadi ahli Koperasi Baiti Ali Malaysia, yuran modal yang ditetapkan ialah sebanyak RM300.00 dan boleh diambil semula apabila keluar menjadi ahli koperasi. Wang modal dikembalikan selewatnya dalam masa 3 bulan dari tarikh permohonan keluar menjadi ahli. Yuran tahunan bagi Koperasi Baiti Ali Malaysia pula ialah RM2.00 sebulan atau dibayar sekaligus, cuma RM24.00 setahun. Yuran tahunan ini tidak dikembalikan apabila ahli keluar dari menjadi ahli koperasi. Manakala untuk menjadi Ahli Persatuan BAITI ALI Malaysia yuran yang dipersetujui ialah hanya RM12.00 setahun. Yuran ini tidak dikembalikan jika ahli menarik diri dari menjadi ahli Persatuan BAITI ALI MALAYSIA.
Semua berita dan perkembangan mengenai BAITI ALI akan disiarkan dalam blog ini. Semua borang dan dokumen yang diperlukan boleh diperolehi di blog ini juga iaitu Baiti Ali Yayasan Sulami. Mudah-mudah hati tuan-tuan para pembaca budiman terbuka untuk bersama menjayakan amal makruf dan kebajikan ini. Mulakan dengan Bismillah dan mohonlah pemeliharaan Allah semoga kita diridha, ikhlas dan perniagaan di jalan Tuhan ini akan beruntung besar dunia dan akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin. Wasalam.
Oleh TSEN